Polis Wanita Meronda, Jejak Kaki Ponteng Solat Jumaat..!

Anggota polis wanita disertai Wilayatul Hisbah bergabung tenaga bagi melakukan rondaan menangkap mereka yang meninggalkan solat Jumaat di Kota Lhoksukon di Aceh Utara, baru-baru ini.
LHOKSUKON, Aceh - Penduduk lelaki Aceh yang tidak menunaikan solat Jumaat perlu lebih berwaspada selepas wujudnya pasukan gabungan polis wanita yang akan menangkap mereka yang didapati meninggalkan kewajipan itu.

Bertempat di Kota Lhoksukon di Aceh Utara, kira-kira 15 anggota polis wanita (polwan) disertai polis syariah atau Wilayatul Hisbah (WH) bergabung tenaga bagi melakukan rondaan di sepanjang bandar berkenaan pada Jumaat lalu.

Ketika waktu menunjukkan pukul 12.30 tengah hari dan kaum lelaki mula menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, masih terdapat lelaki yang masih leka berada di warung kopi dan kafe siber, sedangkan azan sudahpun berkumandang.

Gabungan polis wanita itu kemudiannya memeriksa setiap premis perniagaan yang masih dibuka bagi memastikan tiada lagi kaum lelaki yang mengabaikan tanggungjawab mereka.

Bermula di sebuah kafe siber di Terminal Lhoksukon, pasukan polis itu menemukan empat remaja lelaki sedang leka bermain permainan video dalam talian.

“Kita nasihati mereka agar segera ke masjid untuk sembahyang Jumaat,’’ kata Komandan WH Wilayah Timur, Acedh Utara, Amiruddin sebagaimana lapor Kompas.com.

Selepas itu, gabungan polis berkenaan mengubah lokasi pemeriksaan mereka di pasar ikan dan menemukan lima lelaki dewasa sedang leka menghisap rokok.

Namun sejurus melihat kehadiran pasukan gabungan polis itu, sebahagian mereka terus melarikan diri.

Sepanjang pemantauan di sekitar ibu kota Aceh Utara itu, gabungan polis menggunakan pembesar suara dengan meminta kaum lelaki segera ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.

“Kali ini tidak ada tangkapan. Kita terlebih dahulu menasihati mereka. Kegiatan (rondaan) ini turut dilakukan di mukim-mukim lain pada setiap hari Jumaat,’’ kata Amiruddin.

Pemeriksaan sebelum solat Jumaat itu dibuat selaras dengan Qanun (perda) Nombor 11 tahun 2002 tentang akidah dan syiar Islam.

“Gabungan polis wanita dan anggota WH perempuan merupakan satu kerjasama yang baik. Kita harap pada masa akan datang, ketika azan, tidak ada lagi warung yang dibuka, Setelah habis sembahyang, sila buka kedai anda semula,’’ tambah Amiruddin.

Sumber: Utusan