PosLaju Jangka 250 Tan Kirim Barang & Bagasi Jemaah Haji Malaysia

Kaunter Pos Laju yang menguuruskan bagasi haji di Abraj Janadriah musim haji yang lalu
MAKKAH – Pos Malaysia Bhd menyasarkan untuk menguruskan sebanyak 250 tan kiriman barang dan bagasi jemaah Malaysia untuk musim haji 1436H ini, kata ketua delegasi PosLaju di Tanah Suci, Amer Ismail.

Beliau berkata pihaknya menyediakan perkhidmatan itu di Makkah dan Madinah bermula 22 Ogos lepas sehingga 27 Okt depan.

“Pada musim haji tahun lepas, kita menguruskan sejumlah 232 tan kiriman barang dan bagasi, dan pada musim ini kita sasar 250 tan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Setiap kiriman yang dihantar ke Malaysia melalui Pos Malaysia akan diserahkan kepada penerima dalam tempoh tujuh hingga 14 hari daripada tarikh pengeposan.

Sebanyak empat kaunter PosLaju dibuka di Tanah Suci iaitu tiga di Makkah (di bangunan penempatan jemaah haji Malaysia di Abraj Al-Janadriah, Qasr Al-Janadriyah dan Masat Al Badae’) dan satu di Madinah (Hotel Al-Haram).

“Sebanyak 30 petugas PosLaju ditugaskan di Tanah Suci, ia bukanlah satu perniagaan, tetapi lebih kepada perkhidmatan kepada jemaah haji kita di sini.

“Untuk penghantaran bagasi atau bungkusan, kadar yang dikenakan hanya Saudi Riyal (SR) 14 bagi setiap kilogram untuk Semenanjung Malaysia dan SR19 sekilogram untuk Sabah dan Sarawak,” kata Amer.

Katanya jemaah haji boleh memilih untuk membayar secara tunai di Arab Saudi, membuat potongan menerusi akaun Tabung Haji atau bayaran dibuat semasa penerimaan bagasi itu di tanah air.

“Perkhidmatan Pos Malaysia juga terjamin. Setiap pengeposan tercatat nombor rujukan kod untuk semakan status serahan yang boleh dilakukan di www.pos.com.my,” katanya.

Pos Malaysia menawarkan perkhidmatan penghantaran bagasi jemaah haji Malaysia sejak 1998. – BERNAMA