PPDNKK Kedah Rampas Barangan Tiruan Bernilai RM10,000 Di Jalan Langgar

Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah, Shahrudin Hamzah (tengah) bersama pegawai penguatkuasa lain memeriksa barangan tiruan yang dirampas dalam satu operasi di sebuah premis di Jalan Langgar semalam. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah merampas pelbagai barangan tiruan bernilai RM10,000 daripada sebuah premis di Jalan Langgar di sini semalam.

Ketua pegawai penguat kuasanya Shahrudin Hamzah berkata pihaknya merampas kira-kira 1,000 barangan seperti tali pinggang, beg dan barangan kosmetik tiruan yang menggunakan jenama popular.

Beliau berkata serbuan dilakukan hasil risikan selama dua minggu yang mendapati barangan tiruan itu dijual kepada peniaga tempatan di pasar malam dan bazar larut malam.

“Hasil siasatan terhadap pemilik syarikat berusia 30-an, dia memperoleh barangan daripada seorang pemborong di Kuala Lumpur dan telah menjalankan perniagaan sejak tiga bulan lepas,” katanya ketika ditemui hari ini.

Katanya pemilik syarikat tersebut turut mengenakan yuran sebanyak RM200 kepada ahlinya bagi mendapatkan barangan tiruan pada harga jauh lebih murah dan mengiklankan barangan mereka dalam laman sosial.

Shahrudin berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Perihal Dagangan 2011, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM15,000 bagi setiap barangan tiruan. – BERNAMA