#PRU14: PAS Cadang Bakal Bertanding Di Kerusi Milik DAP


PAS hari ini meluahkan hasrat untuk meletakkan calonnya di kerusi yang ditandingi DAP pada pilihan raya umum akan datang dan kini parti itu sedang mengkaji secara mendalam mengenai rancangan itu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti yang dipimpin beliau akan meletakkan calon bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bagi mewakili parti untuk kerusi itu.

"Apabila kita sudah tidak ada kerjasama dengan DAP sekarang ini, sudah pasti pilihan raya umum akan datang mempunyai perhitungan lain daripada yang lalu.

"PAS tidak akan teragak-agak untuk menempatkan calon ita, malah kini di peringkat kajian mendalam bersama Jawatankuasa Pilihan Raya PAS dan pimpinan pusat untuk meletakkan calon bukan Islam mewkili PAS," katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Hadi turut menjelaskan bahawa PAS mempunyai ramai calon bukan Islam yang layak bertanding mewakili parti berkenaan selagi mereka mendukung dan menyokong konsep perjuangan yang didokong PAS.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Katanya, agama Islam agak berbeza dengan ideologi lain dan membenarkan orang bukan Islam menjadi menteri, namun hanya dari aspek eksekutif sahaja dan bukan pembuat dasar.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dilaporkan telah membidas PAS supaya menumpukan kepada kerusi dimenangi terlebih dahulu sebelum bercadang untuk mencabar kerusi DAP.

Katanya, PAS tidak perlu mengejar untuk menambah kerusi kerana kerusi yang dimenangi sebelum ini belum tentu kekal milik PAS.

"Terpulang kalau PAS nak bertanding di mana-mana kerusi pun kerana ia sedikit pun tidak akan menggugat DAP.

"Tetapi sebelum ini, saya nasihatkan PAS supaya memberi fokus yang lebih terhadap kerusi dimenanginya dahulu, sebelum mahu tambah kerusi lain.

"Lihat sahaja di Negeri Sembilan, pada pilihan raya umum lalu, satu kerusi pun PAS tak menang. Macam nana pula mahu mahu tambah kerusi lagi," katanya.

DAP, PKR dan parti yang bakal ditubuhkan secara rasmi pada 16 September ini, Parti Amanah Negara (Amanah) sedang serius berbincang untuk menubuhkan pakatan baru.

PAS pula dijangka bakal disingkir atau dipinggirkan dari pakatan baru tersebut ekoran pertelagahan parti itu dengan DAP dan Amanah. -Kedahnews.com