Pulau Pinang Diisytihar Sebagai Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
GEORGETOWN - Pulau Pinang telah diisytihar sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila berikutan berlaku dua kes yang membabitkan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dan seorang dewasa berusia 44 tahun.

Sehubungan itu Ketua Menteri, Lim Guan Eng telah mengeluarkan Perintah Suntikan Pencegahan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015 yang memberi kuasa kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mengambil tindakan sewajarnya.

"Ekoran daripada perintah yang saya keluarkan, semua langkah yang perlu akan diambil untuk menghapuskan anjing liar," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau turut memberi amaran bahawa sekiranya tiada sebarang penguatkuasaan dijalankan, beliau akan mengambil tindakan terhadap pegawai terbabit memandangkan keadaannya adalah mencemaskan dan perlu ditangani segera.

Kes anjing gila atau 'rabies' mula dikesan selepas seorang lelaki digigit anjing di Pokok Sena, Seberang Perai Utara pada 8 September lalu dengan kes kedua dilapor pada 15 September lepas di Taman Nelayan, Kuala Sungai Pinang, Daerah Barat Daya berikutan seorang kanak-kanak turut digigit anjing.

Guan Eng berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan turut menubuhkan Jawatankuasa Pengawalan Wabak Rabies untuk memulakan operasi pengawalan dan pembasmian anjing.

"Operasi ini melibatkan penangkapan, pemusnahan dan pelupusan semua anjing yang terbiar di negeri ini. Semua anjing peliharaan turut diperintahkan untuk dikurung, divaksin, ditanda serta dilesenkan sehingga wabak ini berakhir," katanya.

Beliau berkata anjing yang berumur tiga bulan dan ke atas perlu diserahkan untuk menjalani suntikan mencegah penyakit tersebut.

Guan Eng turut mengingatkan orang ramai yang digigit atau bersentuhan dengan anjing liar agar mendapat rawatan segera dan melaporkan kepada pihak berkaitan.

Bilik Gerakan Jabatan Veterinar boleh dihubungi di talian 04-5041407. - Bernama