Rakyat Singapura Mengundi Esok Lepas 9 Hari Berkempen Habis-Habisan

Gambar Hiasan
SINGAPURA – Hari ini merupakan waktu ‘bertenang’ bagi Singapura selepas sembilan hari calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum 2015 esok, berkempen secara intensif.

Jabatan Pilihan Raya Singapura telah mengeluarkan kenyataan menasihatkan para calon supaya menjaga perlakuan di khalayak ramai dan berhati-hati agar mengelakkan sebarang tindakan yang mungkin dilihat sebagai berkempen.

Calon dari sembilan parti politik termasuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah, bersaing untuk merebut 16 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 13 Kawasan Undi Perseorangan (SMCS) untuk mengisi 89 kerusi anggota Parlimen.

Lapan parti lain yang bertanding adalah Parti Pekerja (WP), Parti Rakyat Singapura (SPP), Parti Demokratik Singapura (SDP), Parti Perpaduan Nasional (NSP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Parti Perubahan (RP), Singaporeans First (SingFirst) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Dua calon Bebas, Han Hui Hui dan Samir Salim Neji turut bertanding dalam pilihan raya itu yang dikatakan paling komprehensif dan penting dalam sejarah Singapura sejak 1965.

Semua mata akan tertumpu kepada beberapa kerusi yang hangat dipertandingkan, antaranya, lima anggota GRC Al-Junied dan empat anggota GRC East Coast yang akan direbut oleh PAP dan WP.

Tanjong Pagar, kubu kuat PAP ketika zaman pengasas dan perdana menteri mendiang Lee Kuan Yew, kini dipertandingkan.

Penyandang PAP akan berhadapan dengan lima calon SingFirst dalam pertandingan pilihan raya pertama sejak 1991.

Sementara itu, beberapa isu seperti kos sara hidup, imigresen, pengangkutan, jurang gaji, perumahan dan kesihatan telah dibangkitkan semasa kempen. – BERNAMA