Sambutan Merdeka Di Langkawi Ada Tarian, Nyanyian, Konvoi Pada Sabtu Ini

Gambar Hiasan
LANGKAWI - Perhimpunan sambutan Hari Kebangsaan peringkat Langkawi yang akan diadakan Sabtu ini bakal menjadi satu tarikan pelancong menerusi beberapa persembahan menarik pada program itu.

Pengerusi Jawatankuasa sambutan, Isahak Murat berkata persembahan seperti tarian perang, nyanyian lagu patriotik, konvoi motosikal berkuasa tinggi dan perarakan kenderaan kerajaan adalah antara acara yang bakal disajikan pada sambutan itu.

Bercakap kepada media semalam, beliau berkata, lebih 1,000 peserta dari 38 buah kontinjen yang terdiri daripada agensi kerajaan, organisasi swasta, unit beruniform, badan bukan kerajaan (NGO) dan sekolah menengah di sini akan menyertai perhimpunan yang akan diadakan di Laman Marmar itu.

Isahak yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) berkata, kontinjen-kontinjen ini juga akan menyertai pertandingan perbarisan yang terbahagi kepada kategori jabatan kerajaan, swasta,sekolah dan NGO.

Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dijangka merasmikan perhimpunan itu, katanya. - Bernama