Samsung Galaxy Note5, Galaxy S6 Edge+ Kini Di Pasaran Malaysia

Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei (tengah) bersama Presiden Samsung Malaysia Electronics (SME), Lee Sang Hoon (kanan) dan Naib Presiden SME (Mobile IT and Digital Imaging) Lee Jui Sang (kiri) menunjukkan telefon pintar baru keluaran syarikat mereka, Samsung Galaxy Note 5 dan S6 Edge Plus pada majlis pelancaran telefon pintar itu, Khamis. - Foto BERNAMA
SELEPAS membuat penampilan peringkat global baru-baru ini, hari ini Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd memperkenalkan peranti gabungan telefon pintar dan tablet, ‘fablet’ Samsung Galaxy Note5 dan telefon pintar Galaxy S6 edge+ di pasaran Malaysia.

Naib Presiden Mudah Alih, Teknologi Maklumat dan Pengimejan Digital, Lee Jui Siang berkata kedua-dua peranti adalah simbol komitmen berterusan Samsung dalam pasaran telefon pintar skrin besar yang dirintis oleh syarikat itu pada 2011 menerusi Galaxy Note.

Kedua-dua model utama Samsung itu menampilkan teknologi skrin canggih, kamera bagi gambar dan video berkualiti tinggi, pengecasan tanpa wayar dan berwayar lebih pantas serta pemproses lebih berkuasa.

“Dilengkapi ingatan capaian rawak (RAM) yang dipertingkat kepada empat gigabait (GB), kedua-dua peranti menawarkan pemproses dan kapasiti lebih hebat kepada pasaran,” kata Lee kepada pemberita pada pelancaran produk itu, di sini.

Beliau berkata perkhidmatan dan penyelesaian baharu seperti teknologi evolusi jangka panjang terkini (Cat.9) dan pengecasan tanpa wayar membolehkan Samsung mencipta semula cara orang ramai menggunakan telefon mudah alih mereka.

Harga runcit yang dicadangkan bagi Galaxy Note5 ialah RM2,699 (termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan – GST) dan ia ditawarkan dalam dua warna iaitu platinum keemasan dan putih mutiara.

Galaxy S6 edge+ pula yang berharga RM3,099 (termasuk GST) ditawarkan dalam warna platinum keemasan dan hitam biru nilam.

Kedua-dua peranti ditawarkan bersama opsyen storan 32 GB dan boleh di peroleh pasaran bermula esok. – BERNAMA