Sandakan Kecoh, Nelayan Naikkan Ikan Kerapu Gergasi 320 Kilogram!

320 kilogram!
PASAR Umum Sandakan tiba-tiba menjadi tumpuan ramai gara-gara seekor ikan kerapu gergasi yang dijual di pasar tersebut.

Ikan seberat 320 kilogram itu menjadi tarikan pengunjung yang datang semata-mata mahu melihat dengan mata kepala sendiri dan bergambar bersama ikan tersebut.

Menurut nelayan, Saraji Jiblani, 45, dia berjaya menangkap ikan gergasi itu di kawasan perairan berhampiran sempadan negara Jiran pada Sabtu lalu.


“Ia adalah tangkapan ikan paling besar pernah saya peroleh sejak menjadi nelayan lebih 30 tahun lalu.

“Mengikut nelayan lain, paling besar ikan pernah dijual di pasar ini adalah 200kg beberapa tahun lalu.

“Sejak awal pagi, pengunjung tidak putus-putus datang ke pasar mahu melihat sendiri ikan gergasi dan tidak kurang juga yang mengambil gambar,” katanya memetik laporan dari BH Online baru-baru ini.


Menceritakan pengalamannya menangkap ikan itu, Saraji memberitahu dia bersama sembilan lagi rakannya pergi ke perairan berkenaan pada Jumaat lalu. Setelah beberapa jam memasang pukat, mereka cuba menarik pukat itu kembali namun mengalami kesukaran kerana pukat terlalu berat.

Bagaimanapun, mereka kemudiannya sedar ada ikan gergasi tersangkut pada pukat.

Difahamkan, ikan kerapu itu dijual antara RM45 hingga RM50 sekilogram. -Kedahnews.com