Sebanyak 5,000 CCTV Resolusi HD Dipasang Sekitar Masjidil Haram

Gambar Hiasan
Makkah - Lima ribu kamera pengawasan beresolusi tinggi dipasang di Masjidilharam dan kawasan suci lain oleh direktorat Masjidil Haram.

Pengarah keselamatan masjid paling suci umat Islam itu, Mejar Jeneral Mohammad Al-Klewi berkata, pihaknya merancang memasang lebih banyak lagi kamera seumpama itu pada masa depan.

Menurutnya, semua kamera yang sudah siap dipasang itu baru.

“Kamera itu membolehkan bilik kawalan melihat setiap sudut perjalanan haji, termasuk kawasan yang jauh dari Masjidilharam,” kata Mohammad.

Pihaknya merancang memasang lebih banyak lagi kamera itu pada masa depan untuk menjadikan jumlahnya 9,000, selaras dengan pembesaran masjid itu.

“Kami juga mempunyai pegawai yang ditempatkan di pelbagai lokasi untuk berkhidmat dan melindungi jemaah. Mereka akan bertugas secara bergilir-gilir 24 jam sehari,” katanya. -Agensi