JIKA disebut Marrybrown pasti akan terlintas di fikiran kita restoran makanan segera yang menyediakan hidangan menarik untuk dinikmati.
Mungkin ada di antara kita adalah peminat setia Marrybrown dan sudah cukup arif mengenainya.
Memulakan perniagaan dengan membuka cawangan pertama di Johor Bahru, Johor pada 1981, Marrybrown sudah hampir 34 tahun berada dalam dunia perniagaan rangkaian restoran perkhidmatan pantas (QSR).
Menurut laman sesawang Marrybrown, restoran tersebut telah memenangi pelbagai anugerah industri francais tempatan dan antarabangsa dengan pengalaman francais melebihi 30 tahun.
“Kami juga sudah bertapak dengan kukuh di pasaran tempatan mahupun antarabangsa melalui restoran yang beroperasi di Malaysia, China, Indonesia, India, Sri Lanka, Maldives, Afrika, Timur Tengah dan Myanmar.
“Marrybrown juga adalah antara rangkaian makanan segera terkemuka di negara ini dengan lebih 130 QSR dalam Malaysia dan lebih 350 cawangan restoran antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, adalah menjadi visi syarikat untuk menjadi sebuah restoran kebangsaan yang jenamanya dikagumi menerusi kekuatan budaya dan rakyat negara ini.
Menjadi rangkaian restoran makanan segera yang utama membangunkan dan mengembangkan konsep ‘Sesuatu yang berbeza’, Marrybrown sentiasa memberi penekanan kepada produk halal yang disediakan untuk berjuta-juta pelanggan seluruh dunia.
“Sebagai pemenang pelbagai anugerah, Marrybrown turut berkembang pesat di peringkat antarabangsa dan adalah menjadi tanggungjawab kami memastikan Marrybrown menjadi jenama serta sebuah organisasi perkhidmatan makanan global seluruh dunia," katanya.
Menurutnya, Marrybrown juga merupakan rantaian restoran makanan segera jenama tempatan dan halal terbesar di dunia berasal dari Asia dan berjaya mempelopori industri makanan segera.
“Kami juga merupakan rangkaian restoran makanan segera pertama yang memperkenalkan makanan ruji sebagai menu makanan segera seperti produk berasaskan nasi, bubur ayam, burger sate dan kari.
“Hari ini, Marrybrown menawarkan pilihan luas tersendiri dengan produk yang inovatif disasarkan kepada pengguna makanan segera dengan ayam sebagai menu utama seperti Lucky Plate, bubur ayam, nasi Marrybrown,” katanya.
Sumber: Sinar Harian