Badrol Hisham (dua, kiri) menyampaikan replika kunci rumah kepada Hashim semalam. |
POKOK SENA - Sebuah keluarga yang terpaksa menumpang di rumah abangnya di sebelah rumah mereka yang musnah terbakar kini gembira apabila dimaklumkan terpilih dalam senarai bantuan membina semula kediaman.
Hashim Ismail, 47, dari Kampung Temusu, di sini, berkata, dia dan keluarganya gembira mendapat tahu rumah mereka yang terbakar tahun lalu bakal dibina semula oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurutnya, selepas kejadian kebakaran itu, dia bersama lapan ahli keluarganya menumpang di rumah abangnya sambil mengumpul wang untuk membina kembali kediamannya yang hangus.
"Tapi lepas diberitahu pihak berkenaan, saya dan keluarga lega. Lebih-lebih lagi pendapatan sebagai buruh tak mampu nak bina rumah dalam masa yang cepat.
"Kami berterima kasih kepada pihak berkenaan kerana memilih keluarga kami dalam senarai bantuan Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ke-7 (NB0S7) oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penerimaan Kunci Rumah, kelmarin.
Penyerahan dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim.
Turut hadir Pengarah JBPM Kedah, Ahmad Shahabudin.
Badrol Hisham berkata, dua projek pembinaan semula rumah membabitkan kos sebanyak RM80,000 di Pokok Sena sudah pun siap dan diberi kunci kepada penghuninya semalam.
"Manakala sebuah lagi rumah di Kulim yang turut terbabit dalam kebakaran masih lagi dalam pembinaan.
"Projek yang dibina oleh enam anggota JBPM ini juga turut dapat menjimatkan kos pembinaan," katanya.
Menurutnya, projek pembinaan rumah setingkat ini mula dibina 22 Jun lalu dan siap dalam tempoh dua bulan dengan kemudahan tiga bilik.
“Projek pembinaan rumah seperti ini menjimatkan kerana kosnya hanya RM40,000 termasuk kelengkapan perabot berikutan nilai semasa harga rumah ini sebenarnya antara RM60,000 hingga RM70,000 seunit,” katanya.
Sumber: Sinar Harian