Sekolah Digalak Sediakan "Mask" Untuk Calon UPSR - Mahadzir Khalid

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahadzir Khalid
PUTRAJAYA – Pihak sekolah digalakkan menyediakan penutup muka dan hidung untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekiranya keadaan jerebu di kawasan berkenaan mencapai tahap tidak sihat, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid.

Beliau berkata selain penutup mulut dan hidung, kementerian juga sedang memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara sebanyak dua kali sehari, iaitu pagi dan tengah hari bagi memastikan persekitaran sekolah selamat.

Katanya, kementerian hanya akan mengambil langkah susulan sekiranya bacaan IPU melebihi 250.

“Setakat ini, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melaporkan bacaan IPU di seluruh negara berada di tahap memuaskan dan peperiksaan UPSR boleh dijalankan seperti dijadualkan.

“Kita berharap tahap indeks akan berada di tahap sihat dan sekiranya perlu, kita akan membuat keputusan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) di sini hari ini.

Seramai 455,929 calon menduduki peperiksaan UPSR hari ini di 8,134 pusat peperiksaan seluruh negara.

Ditanya mengenai bacaan IPU di Melaka, Mahadzir berkata bacaan itu berada di tahap sederhana buat masa ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), tujuh kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melebihi 100 setakat 8 pagi ini.

Maklumat terkini daripada laman sesawang JAS menunjukkan tiga kawasan di Negeri Sembilan iaitu Nilai (135), Port Dickson (117) dan Seremban (114) merekodkan bacaan IPU tidak sihat.

Turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat ialah Bandaraya Melaka (111), Batu Muda (Kuala Lumpur) (108) dan Banting (106).

Semalam, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata sekolah akan ditutup jika keadaan jerebu di negeri berkenaan semakin serius, namun bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan. – BERNAMA