Selangor Sedang Ditadbir Kerajaan Yang Caca Merba?

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang
KUALA LUMPUR – Negeri Selangor dan rakyatnya kini boleh diibaratkan sebuah negeri yang ditadbir oleh sebuah kerajaan caca-merba.

Ia berikutan pengumuman Menteri Besar yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali bahawa Pakatan Harapan yang ditubuhkan semalam tiada kaitan dengan kerajaan Selangor.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, kenyataan Mohamed Azmin itu mengelirukan rakyat Selangor kerana menimbulkan persoalan tentang status parti politik yang mentadbir kerajaan Selangor sekarang ini.

“Menteri Besar Selangor mengesahkan tiga exco kerajaan Selangor daripada PAS dikekalkan walhal PAS menegaskan mereka tidak sertai Pakatan Harapan (yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN)).

“Ini menunjukkan Selangor kini ditadbir oleh dua pakatan. Satu Pakatan Harapan melibatkan DAP dan PAN. Kedua `Pakatan Azmin’ melibatkan DAP dan PAS,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Keng Liang mendesak Azmin menjelaskan kepada rakyat sama ada dua exco kerajaan Selangor daripada PAS bakal disingkir memandangkan PAN adalah anggota Pakatan Harapan walhal Selangor kini ditadbir `Pakatan Azmin’.

PKR, DAP dan PAN semalam mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang berkubur sejak Jun lalu ekoran krisis terburuk tahaluf siyasi atau kerjasama politik PAS dengan DAP.

PKR cuba mempelawa PAS kembali menyertai gabungan pembangkang itu selepas bertindak menyisihkan PAS sebelum ini kerana tidak sehaluan dengan DAP dalam beberapa isu.

PAS bagaimanapun menegaskan tidak akan menyertai Pakatan Harapan kerana enggan terlibat dalam sebarang bentuk bekerjasama dengan musuh ketatnya, DAP dan PAN.

Sacara umumnya, kerajaan Selangor kini ditadbir oleh gabungan parti-parti politik pembangkang yang saling bermusuhan. meskipun matlamat mereka hanya satu: ‘Benci Barisan Nasional!’. -Kedahnews.com