ARAFAH - Dianggarkan lebih dari tiga juta umat Islam dari seluruh dunia, termasuk lebih 22,000 jemaah Malaysia sedang berhimpun di Padang Arafah hari ini bagi menunaikan ibadah wukuf yang menjadi rukun ibadat haji.
Berwukuf merupakan detik kemuncak ibadat haji di mana seluruh jemaah yang menunaikan rukun Islam kelima itu perlu berada di bumi Arafah pada tarikh yang ditetapkan mengikut tempoh yang tertentu sebagai syarat sah rukun.
Jemaah haji dari Malaysia dilaporkan telah mula meninggalkan kota Makkah secara berperingkat sejak tengah hari semalam.
Menurut rakan-rakan media yang berpelung menunaikan haji musim ini, kesesakan lalu lintas yang dianggap ketara berikutan pergerakan jemaah ke Arafah bagaimanapun dilapor tidak terlalu serius kerana hanya mengambil masa kira-kira satu hingga dua jam untuk tiba di Arafah.
Seperti lazimnya di musim-musim haji sebelum ini, pengisian seperti tazkirah, solat sunat dan membaca al-Quran antara aktiviti jemaah sementara menunggu masuk waktu wukuf pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Dengan suhu mencecah 45 darjah Celsius, seluruh jemaah Malaysia dinasihatkan supaya minum banyak air dan membataskan aktiviti di luar khemah untuk menjaga kesihatan. -Kedahnews.com