Datuk Seri Mukhriz Mahathir. |
ALOR SETAR – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS) Kedah hari ini meminta semua pemimpin dan rakyat di negeri Kedah bersatu hati menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Pengerusinya, Sarjakhan Abu Bakar berkata, Mukhriz merupakan seorang pemimpin muda yang berjiwa besar serta mempunyai banyak idea baharu khusus untuk membangunkan negeri ini, antaranya melalui cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
“Kita harap jangan ada yang mengganggu kepimpinan Mukhriz. Beliau banyak membawa transformasi kepada negeri Kedah, kalau dalam negeri sendiri tak sokong beliau, macam mana nak sokong Perdana Menteri,” katanya dalam sidang media di Terminal Feri Kuala Kedah hari ini.
Sehubungan itu katanya, beliau perlu diberi peluang dan ruang untuk merealisasikan segala rancangan pembangunan, dan sebarang pertukaran jawatan menurutnya, hanya akan menjadikan situasi politik menjadi semakin teruk.
“Sepatutnya kita bersatu tentang musuh sebenarnya, bukan bergaduh sesama sendiri hendakkan jawatan dan kepentingan, jangan buat kerja tidak berfaedah yang merosakkan pentadbiran itu sendiri,” katanya.
Beliau mengulas tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang mengeluarkan video meminta Mukhriz meletak jawatan, dan mendakwa Mukhriz gagal mentadbir kerajaan negeri.
Dalam pada itu, Sarjakhan turut meminta Mukhriz menyelesaikan masalah peniaga-peniaga di Jeti Kuala Kedah yang diarah mengosongkan premis perniagaan oleh Jabatan Laut, tanpa diberikan gerai atau tapak gantian sementara.
Peniaga-peniaga katanya, telah mendapat notis ke tiga, dimana mereka perlu mengosongkan premis bermula semalam.
Bagaimanapun katanya, seramai 11 peniaga, melibatkan 35 pekerja terlibat tidak diberikan tapak gantian untuk mereka berniaga.
Pada Oktober 2014, kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi menaik taraf Terminal Jeti Kuala Kedah. – BERNAMA