Semua Jemaah Haji Malaysia Patuhi Arahan Waktu Melontar Jamrah

Gambar Hiasan
MAKKAH – Jemaah haji Malaysia mematuhi arahan waktu melontar di Kompleks Jamrah, Mina yang ditetapkan pihak Muassasah Asia Tenggara dan Tabung Haji (TH) bagi memastikan pelaksanaan ibadat itu berjalan lancar dan selamat.

Pengarah Operasi Masyair TH, Nukman Fadzil berkata bagi memastikan kelancaran jemaah Malaysia melaksanakan ibadat melontar, Unit Peronda TH bertugas 24 jam sepanjang tempoh pelaksanaan ibadat itu yang bermula dari 10 Zulhijjah (24 September) hingga 13 Zulhijjah ini.

“Unit peronda terdiri daripada anggota pemandu arah dan anggota penyelamat yang bertugas di sepanjang laluan 7.5 kilometer (km) jarak antara perkhemahan jemaah Malaysia ke kawasan melontar di tiga jamrah (Kompleks Jamrah) serta laluan pulang dari kawasan melontar ke kawasan perkhemahan jemaah di Muassiem,” katanya di sini pada Jumaat.

Nukman berkata bagi tempoh semalam dan hari ini, jemaah Malaysia bergerak secara berkumpulan antara 200 hingga 300 orang mengikut maktab penginapan masing-masing dengan dipimpin seorang petugas daripada pihak Muassasah Asia Tenggara.

Jemaah haji Malaysia melontar untuk Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah dan melontar di tiga jamrah – Kubra, Wusta dan Sughra – hari ini.

Jemaah haji yang melakukan ‘nafar thani‘ akan bermabit (berada seketika atau bermalam) di Mina sehingga 13 Zulhijjah manakala jemaah yang melakukan ‘nafar awwal‘, akan berada di Mina sehingga esok (12 Zulhijjah).

Mengulas kejadian rempuhan di kawasan perkhemahan jemaah negara-negara Arab pada 11.30 pagi semalam hingga mengorbankan 717 jemaah setakat ini, Nukman berkata perkhemahan itu terletak kira-kira 4 km dari kawasan perkhemahan jemaah Malaysia.

Menurutnya laluan jemaah Malaysia ke Kompleks Jamrah juga tidak melalui kawasan perkhemahan berkenaan.

“Unit peronda sentiasa memantau pergerakan jemaah ke Kompleks Jamrah, dan mereka akan memaklumkan kepada pihak maktab serta mencadangkan perubahan waktu sekiranya perlu.

“Semalam, misalnya, jadual asal pergerakan jemaah haji Malaysia ialah bermula 12 tengah hari, namun diubah kepada 5.30 petang. Selain itu, jadual melontar juga ditetapkan selepas bermulanya waktu Subuh,” katanya.

Setakat ini, katanya jemaah haji Malaysia dilihat mematuhi sepenuhnya arahan waktu melontar berkenaan, namun ada beberapa kes jemaah yang tersasar dari kumpulan ketika bergerak untuk melontar atau pulang khemah tetapi ia dapat ditangani TH.

Tinjauan Bernama di kawasan laluan perkhemahan ke Kompleks Jamrah yang melalui terowong Muassiem itu mendapati beberapa anggota Unit Peronda TH turut membawa bendera Jalur Gemilang sebagai panduan jemaah Malaysia jika tersasar dari laluan yang ditetapkan.

Lebih tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia termasuk lebih 22,000 jemaah haji Malaysia berada di Tanah Suci ketika ini bagi melaksanakan ibadat haji musim ini.

Mereka kini berada di Mina untuk mengerjakan ibadat melontar selepas bermabit di Muzdalifah dua hari lepas.

Mereka kemudian akan bergerak ke Makkah bagi melaksanakan ibadat tawaf dan saie di Masjidil Haram. – BERNAMA