"Sengaja Terlupa", 1MDB Bidas Tony Pua Berhubung Dakwaan WSJ

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Tony Pua
KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini membidas kenyataan setiausaha publisiti kebangsaan DAP Tony Pua berhubung desakannya bahawa syarikat pelaburan itu menafikan dakwaan Wall Street Journal (WSJ).

1MDB berkata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara itu ‘sengaja terlupa’ untuk menyatakan penafian 1MDB yang dikeluarkan pada 9 dan 18 Sept lepas.

“Adalah jelas daripada penjelasan terperinci yang dibuat oleh 1MDB bahawa:

“(a) di sebalik dakwaan palsu dan tidak dibuktikan yang dibangkitkan oleh WSJ dalam laporan pertama bertarikh 8 Sept 2015, berhubung deposit AS$1.4 bilion daripada 1DMB pada 2012, IPIC (Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) adalah dan kekal sebagai penjamin dua bon 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion; dan.

“(b)Meskipun WSJ menyiarkan laporan kedua yang berniat jahat dan salah pada 18 Sept 2015, berhubung pembayaran deposit ‘hampir AS$1 bilion’ oleh 1MDB, opsyen berhubung dengan aset-aset tenaga sesungguhnya telah ditamatkan.”

‘Fakta-fakta itu sendiri sudah jelas’ dan maklumat itu boleh diperoleh secara umum, kata 1MDB dalam kenyataannya di sini.

Menurut 1MDB, ia hairan mengapa Pua sama sekali tidak mempedulikan pengakuan kedua WSJ bahawa dalam beberapa minggu ‘ia mengkaji dokumen-dokumen yang menjadi sebahagian daripada siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang masih berlangsung’.

Sambil berkata ia melanggar undang-undang Malaysia, 1MDB berkata Pua seharusnya memberi tumpuan kepada menjawab siasatan polis dan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perkara itu, yang menurutnya ‘telah mencemarkan proses PAC’.- BERNAMA