ALOR SETAR - Sepasang warga emas di Flat Seri Gemilang, di sini, didakwa terpaksa meneruskan hidup dalam kediaman dipenuhi bahan terbuang.
Dengan timbunan kotak, plastik dan baju lama tanpa disusun rapi menyebabkan kediaman mereka agak berbau dan kotor untuk didiami dengan selesa.
Warga emas hanya dikenali sebagai Pakcik Nol, 78, berkata, dia tidak berupaya mengemas kediaman berkenaan sendirian disebabkan tidak berkemampuan.
“Pak cik memiliki penyakit penat. Manakala, isteri pula, Yah, 77, bukan hanya tidak mampu melihat malah mengalami masalah sihat.
“Seorang anak pak cik sudah meninggal dunia, yang tinggal hanya anak lelaki kurang upaya (OKU) berusia 44 tahun,” katanya.
Pakcik Nol berkata, dia juga menggalas tanggungjawab menguruskan kehidupan mereka dengan menjaga anak lelakinya, termasuklah mandi dan memberi makanan disebabkan keadaan isterinya.
Jelasnya, mereka tiga beranak masing-masing tidak bekerja tinggal di kediaman berkenaan dengan sewa sebanyak RM70 sejak dua tahun lalu.
"Kami kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada beberapa bantuan, antaranya wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 untuk meneruskan hidup," katanya.
Namun begitu, keprihatinan beberapa jiran tetangga di blok berkenaan membantu Pakcik Nol saban hari, sedikit sebanyak meringankan beban warga emas itu.
“Meskipun ada menerima bantuan lain, termasuklah daripada zakat. Namun, tidak berupaya menampung seluruh keperluan kami, antaranya perubatan, sewa rumah, bil utiliti dan makanan,” katanya.
Naib keluarga Pak cik Nol mendapat perhatian sekumpulan pelajar semester tiga Diploma Akaun Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Alor Setar yang turun padang melakukan home help service, semalam.
Pengarah program, Nur Ismazatul Anis Zuhaidi, 19, berkata, mereka berasa insaf tatkala melihat kehidupan warga emas berkenaan bersama anak lelakinya.
Menurutnya, dia tidak menyangka masih ada orang awam terpaksa hidup dalam kesempitan sedemikian disebabkan beberapa masalah dimiliki.
"Saya bersama enam rakan lain membersihkan kediaman keluarga berkenaan demi membolehkan Pak cik sekeluarga hidup selesa.
"Kami turut menggantikan beberapa barangan baru, seperti tilam dan barangan dapur untuk kegunaan keluarga berkenaan," katanya.
Sumber: Sinar Harian