Sertai "Baju Kuning", Tun M Tidak Setuju Himpunan "Baju Merah" Diadakan

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa tidak perlu diadakan demonstrasi "Baju Merah" pada 16 September ini yang menurutnya bertujuan untuk membalas balik himpunan haram Bersih 4 yang diadakan akhir bulan lalu.

Menurutnya yang turut menyertai "Baju Kuning" tanpa memakai baju berwarna kuning sebelum ini, rakyat Malaysia tidak perlu terikut-ikut dengan budaya demonstrasi yang berlaku seperti di Bangkok, Thailand.

“Saya tak rasa demo ‘Baju Merah’ ini perlu dilakukan. Baju kuning berlawan dengan baju merah, seperti mana yang berlaku di Bangkok.

“Ini adalah isu negara kita sendiri, jadi kita selesaikan mengikut cara kita,” katanya yang dipetik Berita Daily.

Ketika himpunan Bersih 4, Mahathir menghadirkan diri bersama isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan disambut bagai 'wira baju kuning' selain menerima liputan meluas dari media pro-pembangkang.

Demo ‘Baju Merah’ dijadualkan bakal berlangsung pada Hari Malaysia (16 September) di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, pihak berkuasa sebelum ini menegaskan bahawa himpunan "Baju Merah" turut senasib dengan himpunan "Baju Kuning" yang tidak mendapat kebenaran untuk membuat himpunan. -Kedahnews.com