Shahrizal dan isterinya, Hanis Husna semakin bahagia melayari alam rumah tangga selepas berkahwin pada 1 Mei lalu. |
Pelakon Shahrizal Jaszle menjelaskan dia tidak pernah melarikan diri ekoran namanya sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi sebelum ini.
Shahrizal, 27, sebaliknya berkata, sikapnya yang merendah diri dan tidak gemarkan publisiti murahan menyebabkan dia mengambil sikap berdiam diri bagi mengelakkan sesuatu isu yang timbul mengenainya terus diperbesarkan.
"Jika dikaji kembali publisiti yang saya dapat sebelum ini pun oleh kerana orang lain yang bercakap dan saya sentiasa mengambil sikap berdiam diri.
"Saya tidak larikan diri tetapi memang sejak dari dahulu saya lebih selesa bersikap low-profile untuk mengelakkan sesuatu isu itu terus diperbesarkan," katanya kepada mStar Online.
Tambah Shahrizal, biarpun sedar kepentingan populariti untuk seseorang selebriti namun dia tidak mahu hanyut dalam situasi itu dan ingin fokus terhadap kerjayanya sebagai pelakon.
Shahrizal kini sedang dalam proses perbicaraan kes khalwat dengan seorang pegawai bank, Farah Nurizzati Salleh, 23 selepas ditahan pihak berkuasa pada 16 Mei 2013.
Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling di sini memerintahkan pelakon itu membela diri atas tuduhan tersebut selepas mengaku tidak bersalah sebelum ini.
Terdahulu, Shahrizal mengejutkan peminatnya apabila mengambil keputusan berkahwin dengan model Hanis Husna Mohamad Nadzree pada 1 Mei lalu selepas mendedahkan hubungan mereka di Instagram miliknya.
Ketika itu, pelakon itu didakwa masih lagi mengikat tali pertunangan bersama Redzwani Puteri.
"Lakonan adalah kerjaya saya dan tidak pernah anggap ia sebagai satu populariti kerana bagi saya pelakon itu sama seperti pekerjaan lain," ujarnya.
Dalam pada itu, Shahrizal mengakui semakin bahagia melayari alam perkahwinan bersama isterinya sejak lima bulan lalu.
Kata pelakon itu, kehidupannya kini lebih teratur dan bermakna dalam menjadikan dia seorang lelaki lebih bertanggungjawab.
"Dari dahulu lagi saya memang mahukan kehidupan berkahwin dan Alhamdulillah rumah tangga yang dibina semakin bahagia.
"Masa bujang dahulu lain tetapi apabila sudah berkahwin kehidupan lebih teratur dengan adanya isteri di sisi," ujarnya.
Sementara itu, Shahrizal mengakui sering ditegur berhubung perubahan fizikalnya yang semakin berisi sejak berkahwin.
Bagaimanapun katanya, produksi tidak mempunyai masalah dengan perkara itu namun dia tidak berasa selesa melihat dirinya di skrin membuatkannya nekad untuk berubah.
"Sebelum ini berat badan saya hanya 74 kilogram dan naik mendadak kepada 80 kilogram membuatkan saya sering ditegur atas perubahan mendadak itu.
"Saya sendiri berasa tidak puas hati apabila melihat diri sendiri dalam skrin yang kelihatan lebih besar daripada biasa sehingga membuatkan saya nekad untuk mengurangkan berat badan.
"Alhamdulillah berkat senaman dan tidak menjamah nasi berat badan kini kembali turun kepada angka asal," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Shahrizal berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 30 episod berjudul Maria Terindah untuk siaran Hyppe TV.
Sumber: mStar