Gambar Hiasan |
Singapura - Kerajaan Singapura mengkritik Indonesia kerana masih gagal mengawal kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu melanda negara itu lebih sebulan lalu.
Kritikan itu adalah yang paling lantang oleh Singapura ketika semua sekolah di negara itu ditutup semalam apabila indeks pencemaran udara melebihi 300 iaitu tahap bahaya.
Menteri Luar Singapura, K Shanmugam mengkritik beberapa pemimpin Indonesia yang sebelum ini memandang ringan masalah itu.
Bekas Perdana Menteri, Goh Chok Tong turut berkongsi pandangan yang sama dan mendesak Jakarta menyelesaikan punca isu itu.
“Sekiranya Indonesia gagal menyekat aktiviti pembakaran haram ia secara tidak langsung menggugat kepercayaan pelabur asing terhadap kemampuan Jakarta menyelesaikan isu kompleks yang lain.
“Jerebu umpama ujian keberkesanan pentadbiran dan kepimpinan serantau,” katanya dalam laman Facebook miliknya.
Shanmugam berkata, ketika Jakarta mendakwa berusaha mengatasi isu itu, pada masa yang sama ada pemimpin Indonesia yang mengeluarkan kenyataan mengejutkan.
Katanya, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin tertinggi Indonesia itu bukan sahaja tidak mempedulikan perasaan penduduk Singapura tetapi rakyatnya sendiri.
“Bagaimana boleh berlaku seorang pemimpin kanan dalam kerajaan mengeluarkan kenyataan itu tanpa perasaan malu atau bertanggungjawab?” soalnya.
Shanmugan tidak menamakan pemimpin itu tetapi Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla beberapa minggu lalu dilaporkan mengulang semula kenyataan kontroversinya yang dibuat pada Mac lalu.
Jusuf pada Mac lalu berkata, negara jiran sepatut bersyukur kerana menerima udara yang baik hampir sepanjang tahun.
“Selama 11 bulan setahun mereka menerima udara yang baik dari Indonesia tetapi tidak pernah berterima kasih,” katanya. - Agensi