Siti Elizad |
Pelakon Siti Elizad kesal terhadap individu tidak bertanggungjawab yang menguruskan kelab peminatnya iaitu Elizad FC bagi tujuan kepentingan peribadi untuk melakukan penipuan.
Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Saifuddin, 31, berkata, individu yang merupakan pengurus kelab peminat tersebut telah menggunakan namanya untuk mengutip sejumlah wang bagi kepentingan peribadi.
"Saya sedih dan terkilan apabila dia yang bertanggungjawab menguruskan kelab tersebut sanggup berbuat demikian dan menggunakan nama saya untuk mengambil duit daripada ahli yang lain.
"Saya mengetahui perkara ini apabila ramai peminat yang bertanya tentang sebuah acara yang saya sendiri tidak tahu menahu," ujarnya kepada mStar Online.
Elizad berkata, dia sudah beberapa kali menghubungi individu tersebut, namun tidak berjaya selain berasa simpati terhadap beberapa peminatnya yang menjadi mangsa penipuan tersebut.
"Saya sudah beberapa kali hubungi dan hantar mesej WhatsApp pada dia, namun tidak dibalas walaupun saya tahu dia sudah membacanya. Saya cuba tanya dengan ahli kelab lain, namun semuanya seperti tidak mahu beri kerjasama.
"Saya sedih dan kasihan dengan peminat yang tertipu, bukan semua orang senang untuk dapat duit, ada yang terpaksa mengumpul semata-mata untuk bertemu saya tetapi ditipu pula," ujarnya.
Bagaimanapun, Elizad berkata, dia sudah memaafkan perbuatan tersebut, namun memohon agar individu itu memulangkan semula duit yang diambil daripada peminat yang lain.
"Bukan niat saya memburukkan sesiapa tetapi perkara ini telah menjejaskan nama dan memberi persepsi buruk masyarakat terhadap saya.
"Saya tidak mahu panjangkan perkara ini dan sudah memaafkan perbuatannya itu, namun saya harap dia dapat pulangkan semula wang peminat yang ditipu," ujarnya.
Elizad bersama kelab peminatnya Elizad Fc yang ditubuhkan beberapa bulan lalu. |
Dalam pada itu, ditanya sama ada dia mahu meneruskan atau membubarkan kelab peminat itu, Elizad berkata, dia sedang memikirkan perkara tersebut.
"Sebenarnya dari dulu saya tidak kisah ada kelab atau tidak kerana saya tidak mahu mereka terlalu mengagungkan saya. Saya tidak percaya kalau ada kelab peminat artis lebih popular.
"Popular dan rezeki itu semua adalah daripada Allah, yang penting dalam kehidupan kita perlu ikhlas dan tidak mengkhianati orang lain," katanya.
Sumber: mStar