SSM Tawar Diskaun Berperingkat Hingga 80% Atas Pembayaran Kompaun

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menawarkan diskaun pembayaran kompaun secara berperingkat kepada pihak yang melakukan kesalahan mengikut Akta Syarikat 1965 dan akta lain yang ditadbir urus oleh SSM bagi memastikan tiada tunggakan menjelang Januari tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin berkata, jumlah diskaun sehingga 80 peratus akan diberikan kepada syarikat atau individu yang menyelesaikan tunggakan mengikut akta-akta tersebut dalam tempoh September ini, diikuti 70 peratus sekiranya bayaran dibuat pada Oktober.

“Berikutnya pembayaran yang dibuat pada bulan November akan diberi diskaun sebanyak 60 peratus dan bagi Disember pula sebanyak 50 peratus bagi mereka yang menyelesaikan tunggakan kompaun masing-masing sebelum tahun depan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan SSM 2015 di Hotel Pullman Bangsar, hari ini.

Ini bermakna pemilik perniagaan yang ingin menjelaskan kompaun hanya perlu membayar 20 peratus sahaja sebelum 30 September 2015 di mana pada bulan berikutnya akan mempunyai peratusan diskaun yang berbeza.

Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya kompaun tidak dijelaskan menjelang hujung tahun ini, individu dan syarikat terbabit harus membayar penuh jumlah denda yang dikenakan.

Sejumlah 179,179 kompaun bernilai hampir RM150 juta dikenakan ke atas pelbagai kesalahan sejak 2012 lagi di mana kesalahan-kesalahan seperti tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), tidak membentangkan penyata kewangan syarikat dalam AGM dan tidak menghantar penyata kewangan beraudit kepada SSM. -Agensi