Petugas terpaksa melakukan kerja-kerja pembersihan lebih berbanding tugas harian. |
SUNGAI PETANI – Pusat riadah terkenal Taman Jubli Perak, di sini, tercemar dengan sampah sarap ditinggalkan pengunjung yang meraikan satu acara pada malam kelmarin.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan jam 11 pagi semalam mendapati, longgokan botol plastik, bekas polistirena, sisa makanan, lilin dan kotak sampah bertaburan di sana sini sehingga mengundang persepsi tidak sihat dalam kalangan pengunjung lain.
Rosalwati Che Nat, 32, berkata, tindakan kurang sopan sesetengah pihak menunjukkan pengunjung di bandar ini masih belum mempunyai sikap keprihatinan terhadap penjagaan alam sekitar.
“Saya lihat banyak sampah-sarap termasuk sisa lilin di merata tempat termasuk di kerusi rehat dan ruang permainan kanak-kanak.
“Ia sekali gus mempamerkan budaya tidak sihat dalam kalangan pengunjung apabila mereka dengan sengaja meninggalkan sampah-sarap di lokasi awam seperti taman ini,” katanya.
R Nagendran, 28, berkata, pihak berkenaan sepatutnya memikirkan langkah terbaik sebelum menganjurkan sebarang aktiviti terutama menitikberatkan aspek kebersihan dan keprihatinan terhadap penjagaan alam sekitar.
“Taman ini diwujudkan untuk aktiviti riadah sebagai kegunaan orang ramai, ia dihiasi pelbagai perhiasan termasuk pokok hiasan dan landskap terbaik, bagaimanapun tindakan mereka seolah-olah mengotori semula kawasan yang sudah dicantikkan,” katanya.
Difahamkan, seramai lima pekerja kebersihan yang ditugaskan membersihkan kawasan pusat riadah tersebut setiap hari terpaksa mengambil lebih masa untuk membersihkan keseluruhan bahagian pusat riadah.
Malah sampah yang dikumpulkan dipercayai tiga kali ganda dari kuantiti harian dan kerja pembersihan disambung keesokan harinya sehingga selesai.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Zubaidah Hanom Mohd Yusof berkata, pihaknya kecewa dengan sikap ditunjukkan pengunjung yang tidak beretika itu.
Menurutnya, tindakan berkenaan sedikit sebanyak merosakkan imej bandar Sungai Petani yang terkenal dengan pelbagai lokasi pelancongan termasuk tapak bersejarah arkeologi, tapak tsunami, muzium dan terbaru, lukisan dinding (mural art) yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri.
“Dalam masa sama, kita sedang membuat persediaan akhir Discover Kedah 2016 iaitu Tahun Melawat Kedah, jadi sepatutnya imej bandar perlu dipelihara dan dikekalkan.
“Tindakan mengotori pusat rekreasi seolah-olah menunjukkan sikap tidak bermoral dan berdisiplin dengan sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata terutama di lokasi tumpuan umum seperti ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian