Ashraf telantar di hospital selama tiga hari sebelum merawat tangannya menggunakan kaedah tradisional. Gambar kecil: Keadaan tangan Ashraf selepas dipatuk ular. |
PADANG SERAI - Seorang pemuda, Ashraf Mohamad, 28, dari Kampung Permatang Durian, di sini, tidak menyangka patukan ular tedung awal Ogos lalu, menyebabkan tangan kanannya hilang upaya.
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, dia bersama ibu bapa dan seorang adiknya bergotong-royong membersihkan semak di tepi rumah.
"Rumput tepi rumah sudah makin tinggi dan emak minta saya bersihkan. Kebetulan petang itu baru ada kesempatan.
"Masa itu kami ramai-ramai... sedang saya asyik tarik rumput tiba-tiba ular tedung patuk dan melekat pada tangan kanan saya," katanya.
Menurutnya, dia berjaya memegang kepala reptilia berbisa itu untuk meleraikannya pada tangan.
"Ular itu gigit memang kuat. Tapi sebab saya berpengalaman dalam menjinakkan ular, saya tak panik dan meleraikan gigitannya dengan cermat.
"Saya tahu, kalau saya panik bisa ular akan lebih cepat menjalar ke seluruh badan dan berkemungkinan akan menyerang jantung," katanya.
Katanya, badannya juga terasa bagai disimbah air panas apabila bisa ular tedung itu menjalar ke seluruh tubuhnya.
"Sakit memang sakit, bayangkan orang simbah air panas di seluruh badan kita.
"Saya ambil masa kira-kira lima minit sebelum pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Ashraf yang juga penjinak ular berkata, kesan patukan ular itu menyebabkan sendi tangan kanannya gagal berfungsi.
“Sekarang ibu jari dan kelengkeng terpaksa dipotong... tangan kanan saya tidak boleh lagi bergerak seperti biasa.
"Tapi saya tak akan trauma dan tak akan berhenti menghiburkan orang dengan pertunjukan ular,” katanya.