Tasik Darulaman Dibanjiri 5,000 Orang Ramai, Meriah Merdeka Bersama BDB

Izham (empat, kanan) menunjukkan tanda bagus dalam aktiviti Merdeka Run.
JITRA - Kira-kira 5,000 penduduk setempat memeriahkan program sambutan kemerdekaan Bina Darulaman Berhad’s Raise The Flag di Tasik Darulaman, Bandar Darul Aman, di sini, kelmarin.

Pengarah Urusan Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Datuk Izham Yusoff berkata, program sedemikian dilihat mampu memupuk semangat kenegaraan tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Insya-ALLAH, pihak BDB akan cuba menjadikan acara sambutan kemerdekaan negara sebegini sebagai aktiviti tahunan, lagipun ia dilihat mampu mendekatkan BDB dengan masyarakat sekeliling.

“Alhamdulillah, saya lihat acara sebegini mendapat sambutan menggalakkan dari masyarakat tempatan, malah gerai-gerai dipenuhi kehadiran orang ramai,” katanya.

Izham berkata, pihaknya menganjurkan aktiviti di kawasan berkenaan bagi menghidupkan Tasik Darulaman, sekali gus merancakkan lokasi itu dengan program berbentuk kemasyarakatan.

Dengan ini, katanya, pengunjung luar akan datang mengunjungi negeri ini, sekali gus meraikan detik-detik kemerdekaan negara di Tasik Darulaman ini.

Sementara itu, Pengurus Kanan Kumpulan Komunikasi Korporat, Sajahan Abdul Waheed berkata, beberapa aktiviti menarik diadakan bagi memeriahkan program kemerdekaan buat julung kalinya diadakan anjuran BDB itu.

Antaranya, zumba, buskers, pertunjukan paramotor, perjumpaan penunggang motosikal berkuasa tinggi, persembahan BDB Idol, persembahan budaya, brass band parade, countdown merdeka dan deklamasi sajak patriotik.

Malah, katanya, lebih 500 peserta termasuklah kakitangan anak-anak syarikat BDB, pelajar sekolah dan orang awam mengambil bahagian dalam acara Fun Run 2.5 Kilometer (km) serta Merdeka Run 5.0km.

Bertambah rancak, beberapa artis jemputan seperti Kumpulan Kopratasa dan Sharifah Shahira menghiburkan ribuan penonton yang mula berkumpul di sekitar tasik seawal jam 5 petang.

Sumber: Sinar Harian