Taufan Etau: Jepun Pindahkan 100,000 Rakyat, 800,000 Dinasihat Pindah

Penduduk di Joso naik ke bumbung rumah menunggu diselamatkan menggunakan helikopter. - Foto Reuters
Joso, Jepun - Pihak berkuasa Jepun memindahkan kira-kira 100,000 penduduk di tengah negara itu, termasuk di Joso, yang terletak 60 kilometer di utara Tokyo, antara kawasan paling teruk terjejas akibat banjir berikutan taufan Etau.

Ramai penduduk terperangkap dalam rumah dan terpaksa memanjat ke bumbung untuk diselamatkan dengan helikopter. Setakat ini, dua penduduk dilaporkan hilang.


Kerajaan juga mengeluarkan amaran kepada 800,000 lagi penduduk di timur negara itu dan menasihatkan mereka berpindah kerana hujan lebat membawa banjir dijangka melanda.

Selepas 48 jam Taufan Etau melanda tengah pulau utama Jepun, Honshu, sesetengah kawasan menerima hujan sekali ganda lebih banyak berbanding biasa pada setiap September.


Seorang wanita 53 tahun hilang selepas tanah runtuh menimpa rumahnya manakala seorang lelaki 70-an di Joso berkemungkinan mati selepas terperangkap dalam rumahnya yang dihanyutkan banjir.

Menurut agensi berita Kyodo, sebahagian sebuah hotel di bandar Nikko runtuh. - Reuters