Terima RM3.8 Juta, Bekas Superintendan Dipenjara 8 Tahun, Denda RM1.75 Juta


Putrajaya - Bekas pegawai kanan polis berpangkat Superintendan dijatuhi penjara lapan tahun dan denda RM1.75 juta oleh Mahkamah Rayuan di sini, semalam.

Tertuduh disabitkan bersalah atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah kira-kira RM3.8 juta antara 2002 dan 2005.

Memetik Harian Metro, bekas pegawai berkenaan, Azmi Osman, 59, berdepan empat pertuduhan berkenaan ketika berkhidmat sebagai Pegawai Turus di Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Johor.

Mahkamah sama turut memerintahkan harta tertuduh, Azmi Osman, 59, bernilai kira-kira RM6 juta disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).

Panel hakim diketuai Hakim Datuk Balia Yusof Wahi sebulat suara menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dimana ia dijalani secara berasingan dan denda RM1.75 juta atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Dua hakim lain ialah Datuk Rohana Yusuf dan Datuk Abang Iskandar Abang Hashim.

Sebelum ini, Azmi dihukum penjara dua tahun dan denda RM1.75 juta oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru dan mengemukakan rayuan selepas hukuman itu dijatuhkan pada 27 Ogos 2012.