Terkini: Rusiah Suar, Jemaah Haji Malaysia Pertama Disahkan Terkorban, Al-Fatihah


ALOR SETAR - Tabung Haji sebentar tadi mengesahkan seorang jemaah haji dari Malaysia yang dilaporkan hilang sebelum ini, Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak adalah mangsa pertama yang dikenal pasti terkorban dalam kejadian kren tumbang di Makkah, Jumaat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pengesahan itu dibuat oleh pasukan Lembaga Tabung Haji yang berada di sana.

"Pasukan Tabung Haji dibenar buat pengecaman jenazah melalui 108 gambar yang dipaparkan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu sidang media di Kelana Jaya, di sini hari ini.

Rusiah antara lapan jemaah Haji Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang susulan insiden kren tumbang itu.


Tujuh lagi jemaah yang gagal dikesan sehingga kini ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah; Shahidan Saad, 52, (Kodiang, Kedah); Zainun Taha, 69, (Ampang, Selangor); Rohana Ismail, 54, (Kuala Krai, Kelantan); Munah Jusoh, 73, (Cherang Ruku, Kelantan); Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, (Tanah Merah, Kelantan) dan Abdul Muluk Ishak, 71, (Pantai Remis, Perak). -Kedahnews.com

Berikut adalah kenyataan penuh dari beliau yang mewakili Tabung Haji di Makkah:
Alhamdulillah hari ini lima (5) lagi jemaah haji yang dirawat di Pusat Rawatan TH telah dibenarkan pulang ke penginapan masing-masing. Manakala lima (5) lagi jemaah Haji – tiga di hospital Arab Saudi dan dua di Pusat Rawatan TH dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan masing-masing.  
 InsyaAllah kesemua sepuluh jemaah haji ini akan dapat menjalani ibadah haji mereka dan berwuquf di Arafah pada 22 September 2015 dibawah pemantauan pasukan perubatan. 
 Alhamdulillah, hari ini merupakan hari pertama Lembaga Tabung Haji (TH) dibenarkan untuk membuat proses pengecaman jenazah melalui 108 gambar yang dipaparkan. 
Pasukan Perubatan TH telah dibenarkan masuk ke bilik jenazah untuk proses pengecaman pada jam 10.30 pagi  (waktu Saudi) atau 3.30 petang waktu Malaysia. 
Proses pengecaman dilakukan melalui pengecaman diri, buku rekod  kesihatan, pas dan gelang pengenalan diri jemaah dan ujian DNA, sekiranya perlu. 
Hari ini satu jenazah Jemaah Haji Malaysia telah dikenalpasti iaitu  Allahyarhamah Rusiah Suar, 56 tahun dari Sungkai, Perak. 
Saya bagi pihak YAB Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan TH ingin mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga Allahyarhamah. Kami semua amat berdukacita dan bersimpati dengan ahli keluarga waris, serta menasihati mereka untuk bersabar dan tabah dengan dugaan ini. 
Marilah kita bersama-sama mendoakan roh Allahyarhamah ditempatkan dikalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. 
Pada masa yang sama kami berharap waris-waris yang lain akan terus bersabar dan berdoa kerana TH akan terus berusaha sedaya upaya untuk terus mencari mangsa-mangsa di hospital-hospital berdekatan serta memastikan segala proses-proses pengecaman diselesaikan secepat mungkin. TH akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. 
 TH ingin menasihati kepada semua jemaah haji Malaysia di Tanah Suci untuk turut bertenang dan bersabar. Terus menumpukan perhatian kepada ibadah bagi menghadapi hari wuquf serta menjaga kesihatan dan keselamatan. 
TH juga ingin mengingatkan para Jemaah untuk memakai segala pengenalan diri yang diberi sepanjang masa. Ini adalah bagi memastikan keselamatan para Jemaah. 
Saya dan YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez akan berangkat ke Tanah Suci esok bagi melihat sendiri keadaan di sana serta membantu memastikan usaha-usaha mencari para jemaah yang hilang selesai secepat mungkin.  
Tan Sri Ismee Ismail
LEMBAGA TABUNG HAJI