Badrol Hisham menyampaikan bantuan kerusi roda dan barangan dapur kepada Pak Jamil yang terlibat dalam kemalangan. |
KUALA NERANG - Pengalamannya selama 30 tahun berada dalam penjara pernah menggemparkan negara selepas dibebaskan hampir sembilan tahun lalu.
Jamil Ahmad, 63, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Jamil bertekad mahu memulakan kehidupan barunya selain berkongsi pengalaman hidup yang dilaluinya sebagai panduan kepada masyarakat.
Warga emas itu kini sibuk memenuhi jemputan ceramah atau motivasi anjuran pelbagai pihak seluruh negeri telah menjadi sumber pendapatan kepadanya.
Bagaimanapun kini dia tidak mampu lagi menghadiri jemputan itu selepas mengalami kemalangan jalan raya pada 30 Ogos lalu di Jalan Sik hingga menyebabkan tempurung lutut kaki kirinya pecah.
Pak Jamil berkata, kemalangan itu menyebabkan dia terpaksa mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan doctor memaklumkan dia terpaksa berehat dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.
“Selepas kemalangan itu pencarian saya juga turut terjejas dan kini hanya mengharapkan bantuan dari adik angkat, Bidin Yakob, 50, untuk menguruskan dirinya itu sehingga kini.
"Pergerakan saya kini terbatas malah menggunakan tongkat,” katanya semasa dikunjungi Adun Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim.
Pak Jamil berkata, walaupun selama ini dia menerima bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi itu belum dapat menampung perbelanjaan sepenuhnya.
Sementara itu, Badrol Hisham berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib dialami Pak Jamil dan telah menyampaikan sumbangan kerusi roda, bantuan makanan serta wang bagi menampung keperluan harian.
“Saya berharap kecederaan dialami Pak Jamil akan cepat sembuh supaya dapat memenuhi jemputan pihak berkenaan bagi menyampaikan pengalamannya sepanjang berada di dalam penjara selama 30 tahun itu.
“Jemputan itu secara tidak langsung menjadi sumber pendapatan kepada Pak Jamil dan pihaknya juga sedia memberi bantuan pengangkutan jika dia memerlukannya untuk mendapat rawatan di HSB,” katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk menghulurkan bantuan atau ingin menjemputnya bagi mengadakan program motivasi bolehlah menghubunginya menerusi talian 011-10772850.