Keadaan mangsa yang ditemui maut terperosok. |
SUNGAI PETANI – Orang ramai yang melalui Jalan Kempas 7, Taman Kempas, Sungai Petani, di sini, terkejut apabila mendapati seorang lelaki ditemui maut dalam keadaan terperosok bersama motosikalnya dalam sebuah longkang, kira-kira jam 7.30 pagi semalam.
Mangsa lengkap berbaju T merah dan berseluar panjang hitam itu dipercayai terbabas sebelum terperosok dalam longkang berkenaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Leftenan Muda Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.40 pagi sebelum anggota bertugas dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Tiga anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera dan tiba empat minit kemudian.
"Mangsa, Kho Ah Baa, 65, maut di tempat kejadian dan ditemui masih berada atas motosikal Yamaha dalam keadaan terperosok dalam longkang," katanya.
Menurutnya, penemuan itu dimaklumkan kepada Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut dan bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik HSAH," katanya.
Sumber: Sinar Harian