Jarak penglihatan terbatas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan ruang udara di sini kembali dilanda jerebu hari ini. - Foto BERNAMA |
PUTRAJAYA – Tiada penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang bertolak dari atau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terjejas akibat jerebu, kata syarikat penerbangan nasional itu.
Namun, penerbangan MH2591 dari Miri ke Kuala Lumpur diarahkan ke Pulau Pinang tengah hari tadi berikutan jarak ketampakan rendah akibat jerebu.
“Selain MH2591, semua penerbangan Malaysia Airlines yang tiba atau berlepas dari KLIA tidak terjejas dengan jerebu,” kata MAS dalam satu kenyataan.
Sementara itu, jurucakap Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), mengesahkan penerbangan MH2591 selamat tiba di KLIA pada pukul 4.12 petang tadi.
Sehingga pukul 3 petang, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sekitar KLIA seperti Putrajaya berada dalam kategori sederhana dengan bacaan 99.
Tinjaun Bernama di Klia2 mendapati ia turut diselubungi jerebu dengan jarak ketampakan sekitar dua kilometer.
IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). – BERNAMA