Tidak Pakai Tudung Sebab Kedudukan Belum Stabil Lagi, Kata Amelina

Amelina
Ramai di kalangan penyanyi seangkatan dengan Amelina kini yang sudah pun mengenakan tudung yang menunjukkan perubahan ke arah penampilan yang lebih Islamik, antaranya Ziana Zain dan Erra Fazira.

Namun bagi penyanyi dangdut, Amelina menjelaskan bahawa dia mempunyai alasannya yang tersendiri tentang sebab dia masih belum melakukan penghijrahan serupa.

Ini kerana disebabkan keadaan ekonominya yang masih belum stabil jika dibandingkan dengan rakan-rakan artis yang lain.

“Ramai yang komen dan bertanya kenapa saya tidak bertudung lagi sedangkan ramai artis dangdut yang seangkatan saya sudah pun berhijab.

“Bagi saya mereka yang berhijab itu kebanyakan sudah stabil dan tidak perlu cari makan lagi dalam industri, sedangkan kedudukan saya belum stabil lagi.

“Namun saya minta mereka doakan saya untuk berubah ke arah itu,” kata Amelina, atau nama sebenarnya Nurazlina Amir Sharifuddin yang kini berusia 41 tahun.

Jika diimbas semula, Amelina mula memperlahankan perjalanan karier seninya sejak mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan, Reduan Mahamood, pada 20 Mei 1999 dan kini muncul kembali dalam dunia seni.

Hasil perkahwinan, Amelina mempunyai lima cahaya mata iaitu Putera Al’ Affiq, 13, Putera Al’ Asyraff, 12, Puteri Nur’ Asyurah, 10, Putera Al’ Arffa, 8, dan Putera Al’ Amzar, 6. -Kedahnews.com