Tiga Negeri Utara Diisytihar Kawasan Penyakit Anjing Gila, Termasuk Kedah

Gambar Hiasan
TAIPING – Tiga negeri di utara semenanjung Malaysia, termasuk Kedah diisytihar sebagai kawasan jangkitan penyakit anjing gila berikutan beberapa kes dikesan di negeri itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dua negeri lain yang diumumkan sebagai kawasan penyakit berkenaan ialah Perlis dan Pulau Pinang.

Menurutnya, penyakit anjing gila atau rabies telah diisytiharkan di Perlis pada 19 Ogos lepas manakala Kedah dan Pulau Pinang, masing-masing pada hari ini.

“Jadi dalam soal ini, kita meminta orang ramai di negeri terbabit untuk berhati-hati. Bagi mereka yang memelihara anjing pastikan anjing mereka berlesen dan sudah mendapat vaksin yang sepatutnya,” katanya.

Shabery berkata demikian kepada pemberita selepas melawat rumah nelayan, Low Tze Kian, 23, yang maut ketika keluar menangkap ikan pada 24 Ogos lepas di Kampung Telok Kertang, di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga sekarang, seramai 200 kakitangan veterinar telah dikerahkan di seluruh negara untuk membantu mengawal keadaan di tiga negeri berkenaan. 

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut mengisytiharkan perkara yang sama di negeri yang diperintah DAP itu. -Kedahnews.com