Tragedi di Makkah |
MARANG - Keluarga Noordin Wahab, 59, seorang dari 10 jemaah haji yang mengalami kecederaan akibat kejadian tren tumbang di Masjidilharam, Makkah pada Jumaat, kini semakin tenang setelah keluarganya itu mendapat perkhabaran baik mengenai beliau.
Anak bongsu Noordin, Arif Rashdan, 18, berkata kesihatan ayahnya kini semakin stabil dan terus berazam untuk melaksanakan ibadah haji dengan sempurna bersama ibunya, Munah Mamat, 56.
"Ayah sendiri yang menghubungi kami untuk memaklumkan mengenai kesihatan dirinya dan berharap kami tidak risau dan terus berdoa agar segalanya berjalan lancar.
"Ayah menghubungi kami melalui telefon kira-kira 11 pagi semalam (Sabtu) dan meminta sanak saudara dan rakan taulan yang mengenali beliau supaya tidak terlalu bimbang dengan kejadian tersebut kerana semuanya berada dalam keadaan terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.
Bakal haji, Noordin Wahab |
Selain Noordin, seorang lagi jemaah haji dari Terengganu yang mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu ialah Faridah Mansor, 63, dari Dungun.
Dalam kejadian pada petang Jumaat itu, Noordin hanya mengalami luka kecil di kepala dan dibenarkan pulang ke bilik penginapan manakala Faridah pula patah pergelangan tangan kiri dan telah dihantar ke Hospital An Noor untuk menerima rawatan susulan.
Mengulas lanjut, Arif Rashdan berkata keluarga beliau kini dihujani dengan banyak panggilan telefon yang risaukan mengenai keadaan kesihatan kedua orang tuanya itu.
"Alhamdulillah semuanya sudah selamat dan ayah memberitahu beliau sangat bersyukur kerana masih diizinkan Allah untuk terus mengerjakan ibadah haji pada tahun ini dan reda dengan ujian yang menimpa.
"Kami tujuh beradik memang terkejut juga pada mulanya, namun berterima kasih dengan maklumat pantas yang disampaikan Tabung Haji dan layanan yang diberikan kepada ibu bapa kami sepanjang berada di sana," katanya yang berharap kesihatan ayahnya terus berada dalam keadaan yang baik sehingga selesai menunaikan rukun Islam Kelima itu.
Sumber: mStar