Tristan da Cunha, 7 Hari Naik Bot Baru Boleh Sampai...

Kediaman penduduk Pulau Tristan da Cunha dari udara.
Hanya boleh dijejaki dengan perjalanan bot selama tujuh hari, terletak di kaki sebuah gunung berapi dan menjadi tempat tinggal lebih banyak burung dan penguin daripada manusia, Tristan da Cunha ialah pulau paling jauh yang mempunyai penduduk.

Meskipun ia tidak akan menarik minat semua orang, jika anda guru dan sukakan kehidupan bercabaran, andalah orang yang dicari penduduk pulau berkenaan.

Penduduk pulau tanah jajahan Britain itu baru-baru ini mengiklankan jawatan kosong untuk guru baru bagi mengajar 23 pelajar di pulau itu.

Mereka mencari guru pakar yang berminat mengajar matematik, sains, geografi dan Bahasa Inggeris dengan kontrak antara tiga hingga enam bulan.

Dengan hanya didiami 268 orang, Tristan da Cunha ialah wilayah seberang laut United Kingdom yang terletak di Lautan Atlantik Selatan, kira-kira 3,400 kilometer dari Cape Town dan berukuran hanya 11 meter panjang.

Secara rasmi, Tristan da Cunha dikenali sebagai Edinburgh of the Seven Seas. Bagaimanapun penduduk tempatan menggelarnya The Settlement.

Kawasan yang menjadi kediaman penduduk di pulau berkenaan terletak di kaki Puncak Queen Mary, gunung berapi setinggi 2,061 meter.

Wilayah jajahan United Kingdom ini terletak di tengah Lautan Atlantik Selatan.
Menurut iklan itu, jawatan kosong untuk guru itu adalah peluang bagi mereka yang berminat untuk mengajar di perkampungan komuniti unik dan membantu pencapaian pelajarnya.

Iklan itu antara lain berbunyi: “Alami perjalanan yang tidak akan anda lupakan, anda akan disambut oleh penduduk yang mesra. Kemahiran interpersonal dan minat untuk berdepan cabaran akan membantu anda menyesuaikan diri untuk tinggal di lokasi yang jauh daripada kesibukan kota.

“Kami memerlukan pakar guru matematik, sains, geografi dan Bahasa Inggeris untuk kontrak antara tiga hingga enam bulan.

“Keupayaan untuk bekerja dengan jaya bersama kakita­ngan lain dan komuniti amat penting. Enam guru yang ada di sini ketika ini amat terlatih (walaupun tidak mempunyai kelayakan) selepas mendapat latihan di UK.”

Pulau itu adalah kediaman kepada lebih banyak burung dan penguin daripada manusia dan tidak menghairankan, ada penduduknya sebelum ini mendapati begitu sukar untuk menyesuaikan kehidupan di situ.

Antara mereka ialah Paderi, Edwin H Dodgson.

Dia pernah menulis me­ngenai kekecewaannya menetap di situ empat tahun selepas tiba untuk menjadi guru pada 1880.

“Saya sentiasa berdoa supaya Tuhan membuka jalan untuk kami semua mening­galkan pulau ini. Tidak ada satu alasan pun untuk pulau ini didiami,” tulisnya.

Tristan da Cunha yang dinamakan sempena nama pengembara Portugis yang menemui pulau itu kini hanya didiami 268 orang.
Penduduk di situ hanya dapat menonton televisyen pada 2001 dan kerana tidak mempunyai lapangan terbang, ia ha­nya boleh dijejaki dengan bot yang mengambil masa tujuh hari untuk tiba.

Lebih buruk lagi, bot dari Cape Town ke pulau itu hanya belayar beberapa kali setahun.


Sumber: myMetro