Tun Abdullah Ahmad Badawi Kekal Pengerusi IKIM, Najib Setuju


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju melantik semula mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkuat kuasa 1 September 2015 hingga 31 Ogos 2018.

IKIM yang ditubuhkan pada 18 Februari 1992 memainkan peranan besar ke atas agama Islam di Malaysia kerana bertujuan menjelaskan kepada umum bahawa Islam agama yang mendukung kebenaran, dinamik, toleran dan mempunyai nilai-nilai murni yang bersifat universal.

Unit Perhubungan Korporat IKIM dalam satu kenyataan media memberitahu, Perdana Menteri turut bersetuju melantik Prof. Datin Dr. Azizan Baharuddin sebagai Ketua Pengarah IKIM yang baharu selama dua tahun berkuat kuasa pada 1 September 2015 hingga 31 Ogos 2017.

“Beliau menggantikan Datuk Nik Mustapha Nik Hassan. Azizan sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah IKIM sejak 1 November 2011,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan Azizan yang mempunyai banyak pengalaman peringkat nasional dan antarabangsa mampu membantu IKIM meningkatkan kefahaman Islam kepada semua masyarakat di dalam dan di luar negara. -Kedahnews.com