Tun M Dakwa Himpunan Rakyat Bersatu Tidak Perjuang Melayu, Suruh Batal


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa supaya Himpunan Rakyat Bersatu yang dijadualkan bakal berlangsung esok supaya dibatal dan tidak diadakan.

Beliau yang hadir dua kali dalam himpunan "baju kuning" Bersih 4 pada akhir Ogos baru-baru ini turut menuduh himpunan Rakyat Bersatu itu tidak memperjuangkan maruah bangsa Melayu sebagaimana yang dinyatakan.

"Mereka tidak berjuang untuk orang Melayu. Tak payah la ada," katanya yang turut mendakwa bahawa himpunan demonstrasi jalanan baju kuning yang beliau sertai tidak bersifat perkauman.

Pihak penganjur Himpunan Rakyat Bersatu, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) semalam telah menerima kebenaran dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berhimpun di Padang Merbok, selari dengan Akta Himpunan Aman 2011.

Lokasi Padang Merbok turut ditawarkan kepada penganjur Bersih 4 sebelum ini, namun tawaran DBKL itu enggan diterima dan mereka lebih memilih untuk melakukan demonstrasi jalanan di sekitar ibu negara, khususnya di Dataran Merdeka.

Keengganan penganjur Bersih 4 itu dilaporkan telah menyebabkan persediaan menyambut Hari Kebangsaan 2015 hampir dibatalkan ekoran terjejas dibanjiri para penyokong demonstrasi jalanan itu yang majoritinya berbangsa Cina.

Bagaimanapun, himpunan haram itu telah mencetus kontroversi dan ketidakpuasan ramai pihak apabila dicemari dengan insiden memijak gambar Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ekoran itu, ratusan laporan polis telah dibuat terhadap insiden tersebut yang mendakwa melakukan provokasi melampau dengan memijak maruah dua tokoh pemimpin tertinggi bagi dua parti bangsa Melayu terbesar negara, UMNO dan PAS. -Kedahnews.com