Tun M Kongsi Pengalaman, Akui Mengeletar Lakon 5 Babak Kapsul

Mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad
Aura mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad beraksi dalam berucap dan berhujah di pentas dengan mengupas pelbagai isu sememangnya tidak boleh dipertikaikan lagi.

Malah tidak lama lagi, rakyat Malaysia bakal melihat satu sisi lain yang melibatkan bakat lakonannya apabila tampil buat pertama kalinya membintangi filem berjudul Kapsul.

Pastinya, tayangan filem Kapsul yang dijangka pada 17 September ini dinanti-nantikan ramai apabila buat julung kalinya dalam sejarah perfileman negara, seorang yang begitu berpengaruh bersetuju terlibat sama berlakon dalam sebuah filem.

Bercerita mengenai pengalamannya, Tun Mahathir, 90, mengakui berasa gementar sehinggakan terpaksa mengulangi beberapa kali dialog pada babak yang dilakonkannya dalam filem Kapsul.

“Saya menggeletar apabila disuruh berlakon buat pertama kalinya. Saya ingat hanya di suruh untuk bawa kereta tetapi disuruh pula berdialog dan saya ikut sahaja.

“Saya buat hanya satu hari sahaja. Saya terima untuk berlakon dalam filem ini setelah 1 tahun 3 bulan filem ini disiapkan.

“Saya puas hati filem ini. Kalau yang ingin menilai dari segi lakonan saya, saya tak tahu nak letakkan diri saya di mana kerana saya bukan pelakon,” katanya yang turut ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ketika sidang media majlis pra tonton filem Kapsul, di Cineleisure The Curve.

Difahamkan, menerusi filem Kapsul arahan Allahyarham Martias Ali ini, Tun Mahathir melakonkan lima babak.

Sementara itu, Tun Mahathir yang popular dengan nama Che Det turut meluahkan harapannya agar lebih banyak karya sebegini dihasilkan supaya generasi tidak mudah akan asal usul perjuangan negara untuk menuntut kemerdekaan.

“Kena buat lebih banyak filem yang bergenre seperti ini supaya budak-budak tahu tentang perjuangan orang-orang terdahulu dalam menuntut kemerdekaan, kerana sekarang mereka buka mata terus melihat arus kemodenan yang dikecapi masyarakat sekarang,” ujarnya.

Filem Kapsul diterbitkan oleh Two Tones Sdn Bhd dan dibarisi pelakon seperti Faizal Hussein, Elly Mazlein, Jue Aziz, Zamarul Hisham, Datuk Rahim Razali dan Normah Damanhuri.

Sumber asal: Roti Kaya!