Datin Umie Aida |
Naluri seorang isteri bagaikan dapat menjangkakan apa yang berlaku, begitulah yang dirasai aktres dan penerbit Datin Umie Aida apabila suaminya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang baru dibebaskan, ditahan semula oleh pihak polis pada Rabu.
Menerusi laman Instagramnya, Umie Aida semalam dilihat memuat naik luahan bayangan rasanya yang seakan sudah dapat menjangka pembebasan suaminya tidak bertahan lama.
“Benar sungguh naluriku (tentang) apa yang bakal terjadi.
“Abang telah dibebaskan dari Akta 124C, (namun) tak sampai lima minit, abang telah ditahan semula untuk Akta 124K & 124L.. under Sosma. Subhanallah. #staystrong,” tulisnya.
Kapsyen yang dimuat naik itu sekali gus menarik perhatian ramai yang meluahkan rasa simpati dan menzahirkan kata-kata semangat agar Umie tabah mengharungi ujian itu.
Khairuddin yang merupakan bekas Timbalan Ketua Umno Batu Kawan, Pulau Pinang ditangkap semula sejurus dibebaskan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada hari yang sama sekitar jam 4.40 petang.
Menurut peguamnya, Matthias Chang, Khairuddin ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan boleh ditahan tanpa perbicaraan sehingga 28 hari di bawah akta itu.
Sebelum ini, dia ditahan reman selama enam hari untuk membantu siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Terdahulu, Khairuddin dilaporkan dilarang berlepas ke New York dan London, selain turut disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia atas arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM). -Kedahnews.com