UMNO Tidak Tipu PAS Tentang Isu Hukum Hudud - Abdul Hadi Awang

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelar pihak yang menuduh kononnya UMNO cuba menipu PAS dalam cadangan melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan.

Jelas beliau, pihak terbabit membuat tuduhan itu kerana menganggap hudud di Kelantan hanya berjaya dilaksanakan apabila ada individu di negeri tersebut yang dipotong tangan disebabkan pelaksanaan undang-undang berkenaan.

“Cadangan melaksanakan hudud sudah masuk ke dalam jentera kerajaan dan dalam kalangan ahli dan pemimpin UMNO sendiri.

“Tidak lagi suara menghina dan mengejek seperti dahulu kecuali kalangan yang sudah habis tempoh suaranya laksana ubat yang sudah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Sebelum ini PAS pernah beberapa kali membawa usul perlaksanaan hudud ke peringkat Pusat, namun telah ditolak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu memegang jawatan tertinggi pentadbiran negara atas alasan 'tidak adil'.

Ekoran itu, para pemimpin PAS telah menuduh UMNO menolak hukum Allah di era pentadbiran Tun Dr Mahathir.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menggunakan pendekatan yang lebih "mesra" apabila menerima cadangan PAS untuk membawa usul hudud ke Parlimen menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Malah, pihak Kerajaan Pusat turut menyediakan platform menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk sama-sama mengkaji dan meneliti draf hudud yang dikemukakan oleh Kerajaan PAS Negeri Kelantan tersebut.

Kerjasama berkenaan hudud itu dipandang negatif oleh DAP dan pihak pembangkang yang menolak hudud dan sempat menabur tohmahan terhadap Abdul Hadi yang dlabel sebagai "mesra UMNO".

Justeru itu, Abdul Hadi menegaskan perjuangan PAS tidak layak bagi orang yang gopoh untuk menang sehingga tidak Istiqamah di atas aqidah perjuangan.

Katanya, golongan itu juga tidak berpijak lagi di atas dasar Islam dan sanggup membuang tanda hala tuju perjalanan menegakkan Islam kerana merasa malu dan hina bersama Islam.

Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai dituju kepada bekas pemimpin PAS yang menyertai Parti Amanah Negara (PAN) untuk terus bersengkongkol dengan DAP.selepas PAS membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP demi menjaga akidah. -Kedahnews.com