Kemalangan membabitkan anggota pengiring dan OKT semasa dalam perjalanan ke Penjara Sungai Petani kelmarin. |
SUNGAI PETANI – Seorang orang kena tuduh (OKT) cedera akibat terkena serpihan cermin van polis dinaikinya yang terbalik dalam kemalangan berdekatan persimpangan masuk Plaza Tol Sungai Petani Utara kelmarin.
Kejadian yang berlaku lebih kurang jam 4 petang itu turut menyebabkan seorang anggota pengawal pengiring polis mengadu sakit di bahagian bahu.
Difahamkan, kenderaan yang dinaiki pemandu, dua anggota pengawal pengiring dan dua OKT sedang dalam perjalanan dari Kompleks Mahkamah Georgetown, Pulau Pinang ke Penjara Sungai Petani untuk menghantar OKT terbabit.
Namun, semasa sampai di lokasi kejadian, kenderaan itu terbabas sebelum terbalik sehingga menyebabkan ia terjunam ke bawah.
OKT dan pengawal pengiring cedera ringan selepas terlibat kemalangan di persimpangan masuk Plaza Tol Sungai Petani Utara kelmarin. |
Bagaimanapun, kejadian dikatakan berpunca daripada tayar belakang kenderaan yang dipercayai pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum terbabas.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa mengesahkan kejadian.
Menurutnya, kesemua mangsa dalam kenderaan itu hanya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk menerima rawatan selanjutnya.
“Mereka kesemuanya dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Bagaimanapun, dua OKT terbabit sudah pun selamat dihantar ke Penjara Sungai Petani selepas masing-masing dirawat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian