Volkswagen Amerika Syarikat Mengaku Salah, Mohon Maaf Terbuka

(Gambar kanan) Jumlah karbon dioksida yang ditulis pada Volkswagen Passat Diesel ketika Pertunjukan Kereta Frankfurt, Jerman, hari ini. Volkswagen mengaku sengaja memasang perisian yang menukar enjin kepada mod bersih ketika ujian asap. Perisian itu kemudian menukar enjin kepada mod biasa menjadikan kereta lebih berkuasa tetapi mengeluarkan sehingga 40 kali ganda pencemaran berbanding yang dibenarkan. - Foto AP
New York - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Volkswagen Amerika Syarikat, Michael Horn, menggunakan kata-kata yang tidak dijangka ketika memohon maaf bagi kesalahan syarikat selepas pembuat kereta gergasi Jerman itu didapati melakukan penipuan terhadap ujian kadar pencemaran Amerika.

“Syarikat kita tidak jujur dengan EPA dan Lembaga Sumber Udara California, dengan semua anda dan - dalam bahasa Jerman saya - kita benar-benar bersalah,” kata Horn pada satu majlis di York baru-baru ini.

Dalam rakaman video yang disiarkan CNBC, Horn berikrar mahu membetulkan perkara itu dengan kerajaan, orang ramai, pelanggan, pekerja dan pengedar.

Volkswagen yang mencatat jualan terbesar dunia, mengakui 11 juta kenderaan diesel keluarannya di seluruh dunia dipasang peralatan yang boleh memperdaya ujian pencemaran.

Skandal itu diketahui umum Sabtu lalu, selepas pihak berkuasa Amerika mengarahkan syarikat berkenaan memperbetulkan masalah itu serta memulakan siasatan.

Jabatan Kehakiman Amerika memulakan siasatan jenayah manakala Perancis mendesak seluruh Eropah melakukan siasatan.

Volkswagen memberhentikan jualan kenderaan diesel di Amerika ketika siasatan itu yang boleh membawa dengan lebih AS$18 bilion. - AFP