Gambar Hiasan |
Seorang wanita yang telah dipanah petir di Guangzhou, China, telah dilaporkan terselamat dari maut disebabkan baju dalam atau bra yang dipakainya ketika kejadian itu berlaku.
Insiden tersebut dikatakan berlaku ketika hujan lebat melanda di wilayah Guandong, kelmarin.
Berdasarkan laporan media tempatan, wanita malang itu dikatakan meredah hujan lebat tersebut kerana mahu mengambil anaknya yang terperangkap ketika sedang beriadah di taman.
Walau bagaimanapun, anak wanita tersebut akhirnya mendapat panggilan telefon menyatakan ibunya telah dijumpai tidak sedarkan diri di sebuah jambatan di situ dengan kesan bakar di bahagian dada.
Wanita yang dikenali sebagai Lai itu akhirnya sedarkan diri di hospital yang merawatnya dan menyatakan dia telah disambar petir ketika bergegas ke tempat anaknya.
Menurut Shen Han, seorang Profesor Fizik di Universiti Zhongshan, menyatakan dawai besi yang terletak pada bra wanita itu telah melantun atau mengalihkan tenaga petir daripada terkena organ dalaman wanita itu, sekali gus menyelamatkan nyawanya daripada maut.
Namun, wanita tersebut masih lagi perlu menjalani beberapa rawatan susulan untuk memastikan dia tidak mengalami kecederaan lain. -Kedahnews.com