Fidel Lopez dan teman wanitanya, Maria Nemeth |
Tallahassee, Amerika Syarikat - Seorang lelaki mengamuk dan membunuh teman wanitanya selepas mangsa secara tidak sengaja memanggil nama bekas suaminya ketika sedang berasmara.
Lebih kejam lagi, Fidel Lopez turut menikam dan mengeluarkan isi perut teman wanitanya, Maria Nemeth dalam kejadian di bandar Sunrise, Florida itu.
Jurucakap polis berkata, Lopez, 24, mengaku membunuh Maria, 31, selepas terlalu marah kerana mangsa memanggil nama bekas suaminya ketika berasmara.
Katanya, Lopez yang mabuk dilapor memukul Maria sehingga pengsan sebelum merosakkan perabot di apartmen milik mereka.
“Lopez kemudian menggunakan serpihan kaca untuk menikam dan mencederakan badan teman wanitanya.
“Tidak cukup dengan itu, Lopez bertindak lebih kejam apabila mengeluarkan usus mangsa dengan menggunakan tangannya sendiri,” katanya.
Selang beberapa minit, Lopez mengheret mayat Maria ke dalam bilik mandi dan menyimbah muka mangsa dengan air dengan harapan wanita itu terjaga.
“Selepas menyedari teman wanitanya tidak bernyawa, Lopez berehat di luar kediaman itu sambil menghisap rokok.
“Lopez kemudian menghubungi polis dan memberitahu teman wanitanya pengsan,” jelasnya.
Menurutnya, polis yang tiba di tempat kejadian menemui mangsa terbaring di bilik air dalam keadaan bogel dengan perut terburai.
“Selepas disoal-siasat, Lopez akhirnya mengaku dia membunuh mangsa,” katanya. - Agensi