Warga Emas Anak Jati Kedah Azam Buat Kayuhan Solo Ke Selatan

Saad ketika melakukan kayuhan pertama Mei lalu di sebuah lokasi sebelum meneruskan perjalanannya.
SUNGAI PETANI – Seorang warga emas berazam membuat kayuhan solo November ini selepas berjaya melakukannya Mei lalu bersama seorang rakan.

Saad Noordin, 66, berkata, sebelum ini dia berjaya melakukan kayuhan basikal lebih 2,717 kilometer (km) menjelajah semenanjung dalam tempoh 26 hari.

"Kayuhan kedua dijangka dimulakan di bandar ini sebelum melalui beberapa negeri termasuk Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Di Johor, saya cadang ke Tanjung Piai, Pontian... ada mercu tanah paling selatan di benua Asia sebelum patah balik ke Perlis melalui beberapa negeri,” katanya.

Menurut bapa lapan anak dan 10 cucu ini, biarpun pernah melakukan kayuhan sebelum ini, dia tetap mengikuti latihan bagi memantapkan stamina.

"Sebelum ini saya pinjam basikal seorang pegawai polis masa kayuhan pertama, misi kali kedua saya alu-alukan tajaan sebuah basikal tahan lasak dan beberapa peralatan lain.

"Semangat saya berkobar-kobar untuk misi kali ini walaupun berdepan banyak cabaran dan kesukaran," katanya.

Katanya, biarpun dalam serba kekurangan, namun misi kayuhan kali ke dua ini akan tetap diteruskannya.

"Saya yakin semua akan berjalan lancar menjelang kayuhan itu nanti," katanya.

Saad boleh dihubungi menerusi talian 019-4920006.