Warga Emas Di Kulim Maut Selepas Tersangkut Atas Pokok


Kulim – Kren terpaksa digunakan bagi membawa turun warga emas Desa Darus, 67, yang pengsan ketika sedang menebang pokok kelapa berhampiran Klinik Kesihatan Lunas, Kulim, Kedah, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa sedang mengambil upah menebang pokok yang dianggarkan setinggi 10 meter bersama dua pembantu, menggunakan tali apabila dia tersangkut selepas tiba-tiba pengsan.

Mohd Firdaus Che Shukur, 17, berkata mangsa ketika itu sedang menebang pokok kelapa manakala dia dan rakan, Laarif Ambo, 19, berada di bawah apabila mendapati Desa pengsan dan tersangkut dengan kepala ke bawah.

“Kami cuba membantu namun gagal membawanya turun dan terpaksa menggunakan kren milik orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu.

“Dia dihantar ke klinik namun gagal diselamatkan kerana sudah meninggal dunia,”  katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu. – myMetro