Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein |
KUALA LUMPUR - Keputusan Wisma Putra memanggil Duta Besar China di Malaysia, Dr Huang Huikang tidak akan menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata apa yang penting adalah usaha memastikan hubungan Malaysia dan China yang telah dapat diperkukuhkan.
"Apa yang penting sekarang adalah usaha untuk memastikan hubungan Malaysia dan China yang telah lama terjalin dapat diperkukuhkan dan bertambah baik," katanya.
Hishammuddin berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Kempen Keamanan dan Perpaduan bersama warga Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, Selasa.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataan pada Isnin berkata Duta Besar China itu dipanggil ke Wisma Putra bertujuan meminta beliau mengesahkan sama ada kenyataannya yang dikeluarkan semasa lawatan ke Jalan Petaling di sini baru-baru ini telah disalah tafsir.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin juga mengulas isu pengambilalihan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand antara pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
"Sekarang ini kita masih belum buat keputusan lagi dan sedang memantau insiden pengeboman di Bangkok, Thailand yang memerlukan kita meneliti kawasan tertentu di sana dan tindakan proaktif telah diambil daripada insiden semasa," katanya.
Letupan bom 17 Ogos lalu di Kuil Erawan di Bangkok, Thailand, meragut 20 nyawa termasuk lima rakyat Malaysia dan menyebabkan 123 orang tercedera.
Sumber: mStar