Zeti Mahu Lebih Ramai Rakyat Malaysia Dilatih Jadi Usahawan, Mula Berniaga

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz
KUALA LUMPUR – Orang ramai perlu diberi peluang untuk mengikuti latihan atau latihan semula untuk memulakan perniagaan sendiri, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Menurutnya, usaha itu pernah dilakukan pada 2000 apabila kira-kira 4,000 orang meninggalkan sektor perbankan berikutan pelaksanaan langkah pengukuhan dan penggabungan.

“Apakah ia membawa kepada kesengsaraan? Tidak…malah kita dapat pulih dan bangkit semula daripada krisis itu dalam tempoh satu setengah tahun dan orang ramai menemui cara lain untuk menyara kehidupan.

“Tidak kiralah sama ada mereka memulakan perniagaan sendiri, dilatih semula atau menyertai cabang lain perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan akhbar New Straits Times yang disiarkan hari ini.

Zeti berkongsi pandangannya ketika mengulas kebimbangan ramai mengenai inflasi, khususnya selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kuasa pembelian yang rendah serta kemelut kalangan perniagaan yang berdepan keuntungan lebih rendah serta pekerja yang diberhentikan.

Menurutnya, kerajaan juga perlu memainkan peranannya dan melihat kaedah memastikan pertumbuhan yang mampan apabila negara berdepan tempoh mencabar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hutang isi rumah kini stabil manakala kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) pula rendah iaitu 1.5 peratus.

Pertumbuhan hutang tidak bercagar juga telah menyederhana manakala penilaian mengenai pengaliran pendapatan turut diutamakan.

“Bagaimanapun, pinjaman peribadi dan kad kredit kini berkembang pada kadar tiga hingga empat peratus dan menyederhana daripada kadar lebih 15 peratus sebelum ini.

“Pertumbuhan menyederhana apabila kita melaksanakan dasar bagi mengekang pinjaman besar-besaran, termasuk daripada institusi kewangan bukan perbankan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, kadar hutang isi rumah itu kurang mencetuskan kebimbangan ketika ini apabila BNM melaksanakan pelbagai langkah secara berperingkat dalam masa tiga hingga empat tahun.

Ia mula menampakkan hasil sekarang yang telah membawa kepada penyederhanaan tanpa menyebabkan kelembapan kepenggunaan yang ketara, kata Zeti.

Beliau turut menyanggah dakwaan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bahawa penurunan jualan hartanah adalah disebabkan peraturan pembiayaan BNM yang lebih tegas apabila mensyaratkan institusi kewangan membuat penilaian kemampuan mereka untuk membayar pinjaman itu.

“Ini bermakna, pemohon perlu membuktikan bahawa mereka berkemampuan untuk membayar pinjaman itu. Kita tidak mahu rumah mereka dirampas apabila gagal melunas pinjaman atau akibat kebankrapan,” katanya.

Zeti bagaimanapun menegaskan, pihak bank telah diberi banyak kelonggaran mengenainya, namun mungkin ada yang mungkin bertindak berlebihan.

Malah, katanya, BNM turut menyediakan kemudahan BNMLINK (Bank Negara Malaysia Laman Informasi Nasihat dan Khidmat) untuk mereka yang mengalami kesukaran mendapatkan pinjaman untuk memperolehi nasihat atau jika ada bank yang melayan mereka secara tidak adil biarpun terbukti mampu membuat pinjaman.

“Mereka perlu lebih agresif dan tampil supaya kita dapat meneliti situasi berkenaan. Kita turut menyediakan perkhidmatan nasihat di serata negara. Mereka yang terbabit juga boleh menghubungi talian, menghantar emel dan sebagainya,” katanya.

Tegas Zeti, biarpun paras hutang isi rumah Malaysia tinggi iaitu 87 peratus daripada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK), namun BNM sentiasa mengingatkan penganalisis dan agensi penarafan bahawa peminjam terbabit telah membuktikan keupayaan membayar hutang mereka kerana memiliki jaminan pendapatan dan pekerjaan yang stabil.

Kadar penolakan pinjaman semasa adalah di bawah 20 peratus manakala kadar kelulusannya pula kira-kira 74 peratus, katanya.

Mengulas spekulasi bahawa kerajaan kini kekurangan simpanan dan terpaksa mendapat bantuan dana badan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Zeti berkata EPF sendiri memiliki panel pelaburan serta Lembaga Pengarah yang kukuh.

“Ia menjaga semua simpanan kita. Saya yakin, mereka telah melakukannya dengan baik, berjaya menjana pulangan pada kadar yang baik serta amat berhati-hati dalam soal kegiatan pelaburan.

“Oleh itu, saya tidak rasa kerajaan akan menggugat KWSP kerana ia adalah simpanan orang ramai,” katanya.

Zeti turut menegaskan, usaha kerajaan memulihkan kedudukan kewangan menerusi langkah rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan GST juga terbukti memberi kesan positif.

“Sekarang adalah tempoh untuk rakyat menyesuaikan diri. Kita tidak boleh sentiasa menikmati masa senang.

Sebaliknya, mereka yang terbukti membuat persiapan ketika waktu senang itu lebih mampu untuk mengharungi keadaan,” katanya. – BERNAMA